18 April 2015

WAKAF

Definisi Wakaf

Dari sudut bahasa perkataan Wakaf adalah berasal dari perkataan Arab ” Al-Waqf ” (اَلْوَقْفُ) yang bermaksud harta yang diwakafkan. Ia juga bermakna harta yang ditahan “Al-Habs” ( اَلْحَبْسُ ) atau harta yang dihalang ” Al-Mana’ “( اَلْمَنْعُ ). Mengikut istilah syarak pula, wakaf membawa maksud menahan sesuatu harta daripada pewakaf dan memberikan manfaatnya untuk kebajikan dan kepentingan agama dan umat Islam atau kepada penerima wakaf yang telah ditentukan oleh pewakaf sepertimana yang dinyatakan didalam hujjah wakaf dari mula harta itu diwakafkan hinggalah ke akhirnya semata-mata kerana Allah Subhanahu Wa Taala buat selama-lamanya dan ianya tidak boleh diambil kembali atau dimiliki oleh mana-mana individu.

Jenis-jenis Wakaf

Secara umumnya wakaf terbahagi kepada 2 iaitu:

i) Wakaf Ahli (wakaf keluarga)
wakaf ini dikhususkan manfaatnya kepada ahli keluarga yang telah ditentukan oleh pewakaf.

ii) Wakaf Khairi (Wakaf Kebajikan)

Wakaf ini terbahagi kepada wakaf am dan wakaf khas.

Wakaf Am: Ertinya sesuatu wakaf yang diwujudkan oleh pewakaf bagi tujuan manfaat umum umat islam mengikut hukum syarak seperti untuk kemudahan atau pembangunan ekonomi umat islam menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan dengan berasaskan hukum syarak.

Wakaf Khas: Ertinya sesuatu wakaf yang diwujudkan oleh pewakaf bagi tujuan manfaat tertentu umat islam mengikut hukum syarak seperti mewakafkan tanah untuk tujuan masjid, surau, sekolah agama, perkuburan islam dan lain-lain yang dikhususkan oleh pewakaf.

Definisi Wakaf di atas dapat menjelaskan bahawa amalan soleh yang utama adalah yang mempunyai kesinambungan manfaat dan pahalanya pula akan berterusan selama mana harta wakaf itu masih dimanfaatkan. Ada harta yang menjangkau tempoh yang amat lama maka pahala itu berterusan selama mana penderma itu masih hidup (di dunia) sehingga selepas dia mati (Akhirat).

Aktiviti yang berasaskan wakaf adalah:

  1. Barangan atau aset atau sesuatu yang di wakafkan
  2. Barangan itu dimanfaatkan secara berterusan. 

Antara contoh aktiviti wakaf adalah:

  1. Pembangunan Masjid dan juga tempat beribadat
  2. Projek saliran air sungai
  3. Penulisan mushaf, kitab-kitab yang bermanfaat dan aktiviti pembacaan
  4. Pembekalan air perigi, air paip dan seumpamanya
  5. Pembangunan pertanian
  6. Program pendidikan ilmu yang berguna dan diamalkan
  7. Progam pembangunan keluarga bahagia teladan

Di dalam kitab Tanbihul Ghafilin oleh Abullaits Assamarqandi telah dihuraikan aktiviti-aktiviti yang memberi kesan manfaat dan pahala yang berpanjangan seperti berikut:

“Yazid Arraqqasyi meriwayatkan dari Anas r.a. berkata: ‘Tujuh perkara yang dapat diterima pahala sampai sesudah matinya:


  1. Siapa yang membangun masjid maka ia tetap mendapat pahalanya selama ada orang sembahyang di dalamnya.
  2. Siapa mengalirkan air sungai, selama ada yang minum daripadanya.
  3. Siapa yang menulis mushaf ia mendapat pahala selama ada orang yang membacanya.
  4. Orang yang menggali sumur (perigi) selama masih ada orang mempergunakan airnya.
  5. Siapa yang menanam tanaman selama dimakan oleh manusia atau burung.
  6. Siapa yang mengajar ilmu yang berguna, selama dikerjakan oleh orang yang mempelajari.
  7. Orang yang meninggalkan anak salih mendoakan dan membaca istighfar baginya; yakni jika mendapat anak lalu diajari ilmu dan Al-Qur’an, maka ayahnya akan mendapat pahalanya selama anak itu melakukan ajaran-ajarannya, tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri; sebaliknya jika dibiasakan berbuat lacur fasik maka ia mendapat dosanya tanpa mengurangi dosa orang yang berbuat sendiri.”

Jelas bahawa program wakaf amat luas dan tidak terbatas kepada projek “keagamaan” semata-mata tetapi meluas kepada apa-apa aktiviti yag menepati amal yang soleh dan berkepentingan awam.

Kesimpulannya aktiviti baik yang berterusan dan mendatangkan manfaat kepada pihak lain adalah dalam ruang lingkup wakaf atau sadaqah jariah.

17 April 2015

Solat Sunat Hifzi
Cara-Cara mendirikan Solat Sunat Hifzi:

Disunatkan bagi mereka yang ingin menguatkan hafalan mereka,terutama yang menghafal
al-Quran (golongan hufaz), agar mengerjakan Solat sunat Taqwiyatul Hifzi...:

Kaedahnya:
1. Mengerjakan solat ini empat rakaat, dengan dua kali tahiyat akhir.
2. Mengerjakan pada malam Jumaat, sebaik-baiknya pada sepertiga malam.

3. Mengerjakannya 3, 5 atau 7 malam Jumaat secara berturut-turut.
4. Membaca pada rakaat pertama : SURAH YAASIN.
5. Membaca pada rakaat kedua : SURAH AD-DUKHAN.
6. Membaca pada rakaat ketiga : SURAH AS-SAJADAH.
7. Membaca pada rakaat keempat : SURAH MULUK.
8. Setelah selesai solat,bacalah doanya:

{ دعاء سلفس صلاة الحفظ }

اللَّهُمَّ ارحَمْنِي بِتَركِ الْمَعَاصىْ أَبَدًا مَّا أَبْقَيْتَنِيْ وَارحَمْنِيْ أَنْ أَتَكَلَّفَ مَا لايُعْنِيْنِىْ وَارْزُقْنِيْ حُسْنَ النَّظَرِ فِيْمَايُر ضِيْكَ عَنِّيْ اللَّهُمَّ بَدِيعَ السَّمَوَاتِ والأَرْضِ ذَا الْجَلاَلِ وَالإكْرَاِم وَالْعِزَّةِ الَّتِي لاَتُرَامُ أَسْأَلُكَ يَا اللهُ   يَارَحْمَن بِجَلاَلِكَ وَنُورِوَجْهِكَ أَن تُلزمَ قَلْبِي حِفْظَ كِتَابِكَ كَمَا عَلَّمْتَنِى وَارْزُقْنِي أَنْ أَتْلُوَهُ عَلَى النَّحْوِ الَّذِي  يُرْضيكَ عَنّي.

اللَّهُمَّ بَدِيعَ السَمَوَاتِ وَالأَرْضِ ذَا الْجَلاَلِ والإكْرَامِ وَالْعِزَّةِ الَّتِى لاَ تُرَامُ أَسْأَلُكَ يَا اللهُ يَارَحْمَن بِجَلاَلِكَ  وَنُورِ وَجْهِكَ أَن تُنَوّرَ بِكِتَابِكَ بَصَرِي وَأَن تَطْلُقَ بِهِ لِسَانِي وَأَن تَفَرّجَ بِهِ عَن قَلْبِي وَأَن تَشْرَحَ بِهِ صَدْرِي وَأَن تَسْتَعْمِلَ بِهِ بَدَنِي فَإِنَّهُ لاَ يُعِينَنِي عَلَى الْحَقِّ غَيْرَكَ وَلاَ يُؤْتِينِيهِ إلا أَنتَ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلا بِاللهِ الْعَلِيّ  الْعَظِيمِ

09 April 2015

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. dengan izin Allah  kini saya sedang menguruskan pembinaan sebuah Maahad Tahfiz dan juga Pusat Pengajian untuk Warga Emas.

Sebidang tanah yang akan diwakafkan untuk tujuan tersebut sedang diusahakan pindahmiliknya.

Lokasi Maahad Tahfiz Pusat Pengajian Warga Emas yang akan didirikan adalah satu Kawasan stratejik behampiran TAMAN TUANKU INTAN SAFINAZ (TTIS) Jitra Kedah.  

Kepada Muslimin, Muslimat yang berminat mewakafkan harta @ "WAKAF TUNAI" bolehlah menghubungi saya untuk maklumat lanjut. 


02 January 2014

Qarin, Pendamping Setiap Manusia

Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai ‘kembar’ manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada Qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, Qarin Rasulullah adalah Muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.
Pada umumnya Qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca Al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.

Firman Allah:
“Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu (Qarin) temannya yang tidak renggang daripadanya.” (Az-Zukhruf 43:36)
Untuk mengimbangi usaha Qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh Qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca Al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tiada seorang pun daripada kamu melainkan sudah diwakili bersamanya Qarin daripada jin dan malaikat. Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah?” Sabdanya: “Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku islamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Hadith Riwayat Muslim dan Ahmad)
Aisyah r.a menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata:
“Aku merasa cemburu.” Tiba-tiba Baginda s.a.w berpatah balik dan bertanya: “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda Baginda s.a.w: “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aku bertanya: “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda s.a.w: “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi: “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadith Riwayat Muslim)
Di dalam hadith lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan.”(Hadith Riwayat Baihaqi)
Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang mengikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”
Qarin akan berpisah dengan ‘kembarnya’ hanya apabila manusia itu (kembarnya) meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan Qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi Qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan yang dilakukan manusia itu.

27 December 2013

Indahnya Agama Islam: Kisah Dajjal Dalam Hadis

Indahnya Agama Islam: Kisah Dajjal Dalam Hadis: Pintu Gerbang Lud Dari An-Nawwas bin Sam’an  , dia berkata: Rasulullah ﷺ menyebut-nyebut perihal Dajjal pada suatu pagi. Bel...

20 December 2013

Kelebihan Membaca Al-Quran dan Berzikir

 Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah s.a.w, ”Sesungguhnya hati ini berkarat seperti mana berkaratnya besi apabila terkena air, seorang sahabat bertanya, “bagaimana menghapuskan karat tersebut’? Jawab Nabi s.a.w., banyakkan menyebut mati dan membaca al-Quran.

Rumah yang jika dibaca di dalamnya al-Quran, akan dikunjungi para Malaikat dan dijauhi syaitan dan selesa kehidupan ahli rumah tersebut dan banyak kebaikan dan kurang kejahatan dan ada pun rumah yang tidak dibaca di dalamnya al-Quran dikunjungi para syaitan dan dijauhi para Malaikat. Tidak selesa kehidupan ahli rumah tersebut, sedikit kebaikan dan banyak kejahatan.

Suatu riwayat yang dikeluarkan oleh Imam Muslim, mengatakan pernah Rasulullah s.a.w berlalu seraya melihat satu halaqah (perkumpulan) para sahabat, lalu baginda berujar: Apakah gerangan kamu berkumpul di sini? Jawab mereka: “Kami duduk berzikir kepada Allah Azzawajalla yang telah memberi petunjuk dengan Agama Islam, dan telah bermurah hati atas kami dengan hidayatnya. Ujar baginda: “Demi Allah, benarkah itu yang menyebabkan kamu berkumpul itu? Jawab mereka: “Demi Allah, kami tidak berkumpul di sini melainkan atas tujuan itu semata-mata.” Ujar baginda pula: “Sebenarnya aku tidak meminta kamu bersumpah kerana aku masih meragukan kebenaran kamu, tetapi Jibril a.s. telah mendatangiku dan memberitahuku, bahawasanya Allah Ta’ala memuji-muji kamu di hadapan para Malaikat.”

Dalam satu riwayat lain dikeluarkan oleh al-Hakim, bahawa Rasulullah s.a.w. mendapati suatu kelompok orang sedang berzikir kepada Allah Ta’ala, maka ujar baginda: “Apa yang kamu bicarakan, sesungguhnya aku lihat rahmat Allah sedang menghujani kamu, dan aku pun ingin menyertai kamu sekalian.”

Pernah satu ketika seorang sahabat Rasulullah saw, Ibnu Masud didatangi oleh seorang lelaki yang raut wajahnya murung (berduka). Lalu lelaki itu berkata: "Wahai Ibnu Mas'ud, berikanlah kepadaku satu nasihat yang dapatku jadikan sebagai penawar untuk hatiku yang gelisah ini. Sejak akhir-akhir ini, perasaanku tidak begitu tenteram, jiwaku sentiasa gelisah, fikiranku juga selalu kusut. Aku tidak selera hendak makan, tidurku pun tidak lena."

Mendengar itu Ibnu Mas'ud terus berkata: "Sekiranya itulah penyakit yang menimpa jiwamu, maka hendaklah kamu bawa hatimu mengunjungi tiga tempat iaitu , tempat orang membaca al Quran sama ada kamu membacanya atau kamu mendengarnya. Kedua, majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah dan ketiga, carilah tempat dan waktu yang sesuai supaya kamu dapat beribadat kepada Allah SWT dengan khusyuk dan tulus ikhlas."

Sebenarnya segala-galanya berbalik pada hati kita ini. Sebab itu kita perlu banyak berdoa agar hati kita sentiasa dekat dengan Allah SWT. Hanya dengan doa barulah kita boleh khusyuk dan cubalah amalkan doa ini yang mafhumnya: "Ya Allah Ya Tuhanku , sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada hati yang tidak khusyuk, dan doa yang tidak didengari, dan daripada nafsu yang tidak puas serta ilmu yang tidak bermanfaat. Aku berlindung dengan-Mu daripada empat perkara itu."

Selain pahala dan rahmat Allah yang kita perolehi dari membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah Ta’ala, kita juga akan menambah ilmu pengetahuan agama, menguatkan iman, menempa ketenteraman, menghapuskan dari hati segala perkara yang merungsingkannya. Ini adalah mujarab bagi orang yang biasa membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah Ta’ala, kerana al-Quran dan zikrullah itu menjadi jampi dan penawar bagi semua penyakit hati dan ketidak-tenteraman jiwa dan fikiran.



14 November 2013

Adab Menuntut Ilmu

1. Ikhlas

Menuntut ilmu tidaklah untuk lulus dalam perperiksaaan, untuk bergaji tinggi, untuk dikatakan orang yang bijak pandai atau lain-lain niat melainkan hanya kerana Allah SWT. Daripada Ibn Umar RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menuntut ilmu kerana selain daripada Allah SWT ataupun menghendaki menuntut ilmu selain daripada kerana Allah SWT, maka disediakan tempat duduknya daripada neraka.” [HR Tarmizi]

2. Beradab dengan orang yang memberi ilmu

Berkata Imam Syafie : “Siapa yang ingin dibuka hatinya oleh Allah, maka hendaklah ia bersunyi diri, sedikit makan, menjauhi daripada bergaul dengan orang yang bodoh, dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan tidak beradab daripada kalangan mereka yang berilmu” [Syarah Mazhab, jilid 1, m/s 31]

3. Banyak Sabar
Imam Syafie pernah berkata: “Tidak diperolehi ilmu kecuali dengan bersabar atas kesengsaraan.” [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, m/s: 237]

4. Tulis setiap yang dipelajari

Kata Abu Hurairah ra: “Tidak ada seorangpun daripada sahabat Rasulullah SAW yang paling banyak meriwayatkan hadis kecuali Abdullah bin Amr bin al Asr, maka sesungguhnya dia telah menulis dan aku tidak menulis” [HR Ahmad dan Baihaqi]

5. Tawadhu’
Imam Ahmad bin Hambal berkata: “Kami disuruh supaya tawadhu’ (rendah diri) kepada siapa yang kami pelajari ilmu daripadanya.” [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, m/s 274]

6. Menjahui dari makan banyak

Ibn Jama’ah berkata: “Sebesar-besar perkara yang menolong seorang penuntut ilmu dengan kefahaman dan tidak rasa jemu adalah makan sekadarnya daripada makan yang halal.” [Kitab Fadhlu al Ilmi m/s 222]

7. Tidur yang sedikit

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (Syurga) dan mata air, mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan kepada mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang yang berbuat baik; mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan pada akhir malam mereka meminta ampun (kepada Allah SWT).” [Az Zariyat 51 : 15 – 18]

8. Kurangkan berkata-kata yang tidak menfaat

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bercakaplah dengan perkataan yang baik ataupun diam.”